TINDAKAN ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Presidennya, Donald Trump terhadap beberapa negara, dengan sasaran terbaharu Iran bukan sahaja mencetuskan ketegangan geopolitik global malah mula mengheret pentas Piala Dunia 2026 ke kancah polemik antarabangsa.Susulan itu, negara-negara yang telah layak ke Piala Dunia disaran berani mengambil pendirian tegas dengan memboikot kejohanan tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan agresif Washington, selain sikap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dilihat enggan mengambil sebarang tindakan terhadap AS dan sekutunya, Israel.Mengambil kira status AS sebagai tuan rumah utama bagi edisi 2026, langkah boikot ini dilihat sebagai isyarat solidariti antarabangsa paling ampuh bagi menentang pencabulan kedaulatan sesebuah negara.Sejarah sukan dunia pernah menyaksikan tindakan serupa apabila Sukan Olimpik Moscow 1980 diboikot secara besar-besaran sebagai bantahan terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan pada 1979.Ketika itu, boikot yang diketuai AS menyaksikan 66 negara termasuk Malaysia menarik diri daripada temasya berkenaan. Persoalannya, jika dunia mampu melakukannya pada ketika itu, mengapa tidak sekarang?Dalam konteks Malaysia, salah satu langkah simbolik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan tidak membeli hak penyiaran kejohanan tersebut. Tindakan itu bukan sahaja dapat menjimatkan kos yang besar, malah menjadi mesej jelas bahawa negara ini tidak mahu dilihat menyokong secara tidak langsung penganjuran yang dipertikaikan.Walaupun langkah memboikot kejohanan sebesar Piala Dunia mungkin tidak memberi kesan besar kepada penganjur, tindakan itu tetap mempunyai nilai simbolik yang kuat sebagai mesej solidariti dan pendirian moral.FIFA tutup mata, tutup mulutTindakan FIFA yang terus membisu tanpa sebarang tindakan tegas mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.Kegagalan badan induk bola sepak dunia itu mengambil langkah tegas terhadap AS dilihat mempamerkan amalan hipokrasi dan dwistandard yang jelas.Umum masih mengingati betapa pantasnya FIFA bertindak menggantung Rusia daripada semua pertandingan bola sepak antarabangsa termasuk kelayakan Piala Dunia selepas Moscow melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.Sebaliknya, apabila AS melancarkan serangan terhadap Iran, tiada sebarang sekatan, kecaman mahupun hukuman dijatuhkan.Situasi ini seolah-olah memberi gambaran bahawa prinsip kemanusiaan dan integriti FIFA hanya digunakan secara terpilih dan tegas terhadap sesetengah negara tetapi longgar apabila melibatkan kuasa besar Barat.Kredibiliti FIFA juga menjadi bahan kritikan apabila badan itu sebelum ini pernah memberikan ‘anugerah keamanan’ kepada Donald Trump, sesuatu yang dianggap oleh banyak pihak sebagai sangat janggal dan boleh dipertikaikan.Persoalannya, apakah rasional sebuah badan sukan dunia mengiktiraf pemimpin yang dasar luarnya sering dikaitkan dengan konflik dan ketegangan di pelbagai rantau dunia?Eropah turut berangBukan sahaja di Asia Barat, kemarahan terhadap Trump turut merebak ke Eropah apabila ada saranan agar England dan Scotland mempertimbangkan untuk memboikot apa yang digelar sebagai ‘Piala Dunia Trump’.Kemelut itu turut dipanaskan dengan kontroversi melibatkan cadangan Trump untuk mengambil alih Greenland yang berada di bawah pentadbiran Denmark, selain ancaman tarif perdagangan tinggi terhadap beberapa negara Eropah yang menentang langkah tersebut.Terbaharu, Trump turut mengancam untuk memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol selepas negara itu enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan mereka bagi melancarkan serangan ke atas Iran.Pada masa sama, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer turut memaklumkan kepada Parlimen bahawa United Kingdom tidak menyertai serangan AS-Israel ke atas Iran.Sukan bola sepak selama ini sering diangkat sebagai ejen penyatuan masyarakat dunia yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik dan konflik peperangan.Namun dalam keadaan dunia menyaksikan pelbagai tindakan ketenteraan yang mencetuskan penderitaan manusia, wajar untuk satu siri tindakan boikot dilakukan terhadap Piala Dunia untuk mengajar Trump dan FIFA.