Rebut pahala 700 kali ganda

Sudah seminggu Iran kena serang dengan Amerika Syarikat dan Israel pada bulan Ramadan. Merak Jalanan tak dapat bayangkan bagaimana penduduk di sana menjalani ibadah puasa dan solat tarawih kerana bila-bila masa saja bom boleh meledak menimpa mereka.Ironinya kita di Malaysia menempuh Ramadan dengan tenang. Tiada siren serangan udara, tiada dentuman misil. Hanya azan yang menandakan waktu berbuka dan berakhirnya waktu sahur.Ramadan hakikatnya ialah hadiah daripada ALLAH. Sebulan yang dibuka luas untuk umat Islam memperbanyak ibadah dan kebajikan. Ini termasuklah menunaikan zakat serta berwakaf bagi membantu mereka yang memerlukan. Antaranya melalui Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).Dalam bulan mulia ini, setiap saat ada peluang pahala, setiap kebaikan pula dijanjikan ganjaran yang dilipat ganda.Merak Jalanan terfikir tentang satu angka menarik dalam al-Quran. Dalam surah al-Baqarah ayat 261, ALLAH berfirman bahawa orang yang membelanjakan harta di jalan-Nya seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai pula seratus biji. Maknanya satu kebaikan boleh berkembang sehingga 700 kali ganda.Kalau diterjemahkan kepada angka, itu kira-kira 70,000 peratus pulangan. Merak Jalanan bandingkan dengan dunia pelaburan. Dividen KWSP baru-baru ini sekitar 6.15 peratus, dan itu pun sudah dianggap baik. Baru-baru ini pula seorang doktor di Kuantan kerugian RM888,000 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan sehingga 500 peratus.Pusing ikut mana pun, tiada bank mampu tawar pulangan puluhan ribu peratus. Bahkan skim penipuan pun jarang berani pergi sejauh itu. Tetapi dalam soal memberi di jalan ALLAH, ganjaran berlipat ganda itu sendiri dijanjikan oleh-Nya. Begitulah pemurahnya ALLAH, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.Rasulullah SAW sendiri digambarkan menjadi paling pemurah ketika Ramadan, malah baginda juga bersabda bahawa sedekah paling utama ialah sedekah pada bulan Ramadan.Sebab itu ramai ulama menyebut Ramadan sebagai bulan peluang besar. Peluang yang datang hanya sekali setahun. Peluang untuk menanam benih kebaikan. Benih kecil, tetapi hasilnya boleh berkembang berkali-kali ganda.Salah satu cara paling mudah menanam benih kebaikan itu ialah melalui zakat fitrah. Merak Jalanan cuba kira mudah-mudah. Di Wilayah Persekutuan, kadar zakat fitrah tahun ini RM8, RM15 dan RM25 seorang, bergantung kepada jenis beras dimakan. Kalau satu keluarga lima orang, jumlahnya sekitar RM40 sahaja bagi kadar paling rendah. Kalau pilih kadar tertinggi sekali pun, hanya RM125.Merak Jalanan terfikir, harga itu kadang-kadang kalah dengan juadah bazar Ramadan. Seekor ayam percik sudah sekitar RM25. Lima cawan air balang boleh jadi RM25. Kalau berbuka di hotel pula, set bufet sudah melepasi RM150 seorang.Jadi sebenarnya nilai zakat fitrah itu kecil sahaja pada kita, tetapi kesannya besar kepada mereka yang memerlukan. Namun Ramadan bukan sekadar tentang zakat fitrah.Bulan inilah juga ramai mengambil peluang membersihkan rezeki melalui zakat harta. Sama ada daripada pendapatan, simpanan atau perniagaan. Betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya, diperintahkan untuk berzakat agar kita bukan sekadar menyucikan diri dan harta, tetapi juga untuk digandakan ganjaran-Nya.Ada pula yang memilih satu lagi jalan kebaikan yang kesannya lebih panjang, iaitu wakaf. Bezanya dengan sedekah biasa, wakaf boleh terus memberi manfaat walaupun pemberinya sudah tiada.Bagi yang mahu menunaikan kewajipan atau menambah amal kebajikan pada Ramadan ini, semuanya kini boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform rasmi PPZ-MAIWP.Zakat Fitrah: fitrah.zakat.com.my; Zakat Harta: zakat.com.my; Wakaf: wakafwilayah.com.myRamadan datang hanya sebulan. Tetapi peluang menanam benih kebaikan yang hasilnya berlipat ganda itu sebenarnya terbuka sepanjang tahun.