Teruja berbuka ramai-ramai dalam Mydin

IPOH – Suasana di dalam bangunan pasar raya Mydin Meru Raya di sini bertukar meriah apabila kira-kira 1,000 pengunjung berhimpun bagi memeriahkan Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 pada Rabu.Program anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama Sinar Harian itu bukan sahaja menjadi medan berbuka puasa, malah platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.Pengunjung, Norhaidana Abd Latif, 33, berkata dia mengetahui mengenai program berkenaan melalui rakan-rakannya dan tidak pernah terlepas menyertainya sejak tiga tahun lalu."Saya rasa ini kali ketiga berturut-turut saya sertai. Seronok sebab kita dapat berkumpul ramai-ramai."Seawal jam 4 atau 5 petang orang sudah mula datang dan suasana memang meriah," katanya.Menurutnya, program tersebut wajar diteruskan pada masa depan berharap penganjur dapat menambah kuota penyertaan.Seorang lagi pengunjung, Azmahanim Ahmad Loothpi, 29, yang juga staf Mydin berkata penganjuran iftar berkenaan memberi peluang untuk mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat."Bila ada program macam ini, kita dapat kenal orang yang sebelum ini tak pernah jumpa. Tahun ini nampak lebih teratur dengan sistem imbasan kod QR untuk pendaftaran."Di situ ada 500 orang yang boleh mendaftar melalui QR dan mungkin dapat baucar atau hadiah. Bagi saya memang menarik. Insya-ALLAH kalau ada lagi, saya nak bawa keluarga pula," katanya yang menyertai program itu buat kali kedua.Bagi remaja, Muhammad Zulfiqar Mohd Yunus, 15, pengalaman berbuka puasa di pasar raya adalah sesuatu yang baharu buat dirinya."Saya tahu daripada mak. Kami datang berempat. Memang best dapat makan ramai-ramai."Selain makanan dan minuman, kami dapat juga goodies," katanya yang berhasrat mengajak rakan-rakan dan saudara-mara menyertai program sama jika dianjurkan lagi.Turut teruja, Mohamed Alif Firdaus Mohamed Khair, 16, pelajar Maahad Tahfiz Miftahul Jannah, Buntong yang hadir bersama kira-kira 30 rakan lain selepas dimaklumkan oleh ustaz."Ini kali pertama saya sertai program macam ini. Bagi saya bagus sebab dapat mengeratkan silaturahim dan bergaul dengan orang lain."Kami juga dapat goodies dan berpeluang makan bersama masyarakat," ujarnya.Sementara itu, artis jemputan, Dr Fitri Haris dari kumpulan UNIC menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam menyatukan masyarakat."Saya sudah ikut beberapa siri jelajah sebelum ini. Bukan sekadar menyantuni golongan memerlukan atau menyatukan keluarga, malah yang bukan Islam pun turut bersama. Itu yang seronok."Kalau nak gambarkan dengan satu perkataan, saya pilih ‘Malaysia’ sebab program ini mencerminkan keharmonian pelbagai bangsa dan agama," katanya sambil berharap lebih banyak pihak tampil menaja agar program dapat diperluas pada skala lebih besar pada masa depan.Inisiatif beri impak besarAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri pula menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif terbaik yang memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan Parlimen Tambun."Kita faham kos sara hidup semakin meningkat. Program macam ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban terutama golongan B40, pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang hadir hari ini."Saya rasa bertuah kerana Mydin sentiasa berbakti kepada masyarakat setempat dan program seperti ini sangat wajar diteruskan," katanya.Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Asmuni Awi turut merakamkan penghargaan kepada pihak Mydin atas usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan."Ini satu cara untuk mengembalikan sokongan pelanggan dalam bentuk sumbangan kepada masyarakat. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, usaha seperti ini mampu meringankan beban dan memberi kegembiraan menjelang Aidilfitri," jelasnya. Kongsi rezekiDalam pada itu, wakil penaja, Pengarah Jualan Wilayah Subi, Poh Kok Wah berkata pihaknya menyumbang 1,000 pek makanan merangkumi nasi dan lauk-pauk sebagai tanda sokongan kepada masyarakat."Sebagai syarikat SME di Malaysia, bukan sahaja kami mahu menawarkan produk berkualiti, tetapi juga menyumbang semula kepada rakyat," katanya.Pengarah Urusan Masyhur Ke Puncak Sdn Bhd yang membawakan produk Indra Valley, Jessica Supayah pula berkata pihaknya menaja beras basmati dan minyak masak bunga matahari bagi penyediaan pek briyani."Di setiap lokasi kami sediakan kira-kira 1,000 pek dan setakat ini sudah 7,000 pek diagihkan."Kami gembira dapat makan bersama pelanggan dan berkongsi rezeki sepanjang Ramadan," katanya sambil mengucapkan Selamat Berbuka Puasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.