Cik Sayang Kitchen: Daripada kongsi resipi hingga jadi platform popular tempatan

SHAH ALAM – Bermula sekadar berkongsi video masakan di media sosial tanpa niat untuk berniaga, Cik Sayang Kitchen kini muncul sebagai antara platform resipi tempatan yang mendapat perhatian ramai.Pengasasnya, Abdul Qayyum Halid, 30, berkata, perjalanan membina jenama berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana dia pernah melalui beberapa fasa kegagalan sebelum menemui titik perubahan.Menurutnya, minat dalam bidang perniagaan bermula seawal 2013 ketika masih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)."Tahun berikutnya saya menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi Petronas dan atas nasihat ayah, saya berhenti berniaga untuk fokus kepada pelajaran."Bagaimanapun, jiwa keusahawanan mendorong saya kembali mencuba pelbagai perniagaan termasuk menjual roti RM1, perkhidmatan penghantaran serta perniagaan berasaskan teknologi dikenali sebagai Solvipro, namun kesemuanya tidak bertahan lama," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Pada 2018, beliau menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Teknologi kelas pertama dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik serta menerima Anugerah Canselor Emas.Abdul Qayyum yang terkenal dengan 'tagline' 2 Minit 1 Resipi itu kemudian memulakan kerjaya sebagai jurutera rangkaian di syarikat minyak dan gas antarabangsa pada 2019.Ujarnya, banyak yang dipelajarinya daripada sudut komunikasi, sistem korporat dan pengurusan profesional sekali gus membantunya dalam membina semula keyakinan diri.Pada 2020, beliau memperkenalkan produk ChocoFlakes yang menggunakan nama Cik Sayang, namun perniagaan tersebut juga tidak kekal lama."Tahun 2023 menjadi titik perubahan apabila saya mula memuat naik video masakan dengan niat untuk berkongsi ilmu dan memudahkan orang lain memasak," katanya.Che Sayang Kitchen turut menerima pengiktirafan apabila diumumkan sebagai Creator Of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.Sementara itu, mengulas kritikan terhadap salah satu video masakannya, Abdul Qayyum berkata, beliau amat menghargai setiap teguran dan dorongan netizen."Insya-ALLAH selepas ini, saya akan lebih teliti dalam perkongsian namun matlamat utama tetaplah nak berkongsi sesuatu yang memudahkan orang. Bila dapat tahu ramai yang dapat manfaat, rasa terharu sangat."Saya bukanlah dari latar belakang masakan. Banyak yang perlu saya pelajari. Sekali lagi, terima kasih yang memberi semangat dan teguran. Selamat berpuasa semua," jelasnya.