SABAK BERNAM - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kebakaran sebuah khemah aktiviti penjualan bunga api di Sungai Besar di sini pada petang Khamis.Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, laporan kejadian itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sebelum satu kertas siasatan dibuka.Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkaitan api atau bahan mudah terbakar."Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Md Yusof berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar turut berada di lokasi dan berjaya memadam kebakaran daripada merebak.Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan."Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan berwaspada terutama peniaga yang menjual bunga api sepanjang musim perayaan," tambah beliau.Terdahulu tular video di aplikasi Reels memaparkan aksi pembakaran mercun di bahu jalan di Sungai Besar sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.Menerusi rakaman berdurasi dua minit lima puluh empat saat itu, suasana penjualan bunga api bertukar kecoh apabila bunyi letupan kuat kedengaran bertalu-talu selain kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.Keadaan itu turut menjejaskan penglihatan beberapa kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.