SHAH ALAM - Dakwaan kerajaan yang menyalahkan pembangkang berhubung kegagalan kelulusan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah tersasar dan tidak berasas.Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mendakwa kegagalan itu berpunca daripada "salah faham" dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang adalah tersasar.Menurutnya, dakwaan berkenaan dilihat sebagai percubaan mengalih perhatian daripada isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan memastikan kehadiran dan sokongan ahli Parlimennya sendiri ketika sesi pengundian yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat."Percubaan untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Takiyuddin berkata, semasa sesi perbahasan di Parlimen, anggota pembangkang telah berulang kali menjelaskan bahawa sebarang cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti dalam kerangka perlembagaan yang lebih luas.Menurutnya, perkara itu termasuk mengambil kira peranan dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) untuk melantik Perdana Menteri yang pada pertimbangan Seri Paduka Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.Beliau berkata, pembangkang turut mencadangkan supaya sebarang pindaan perlembagaan berkaitan perkara itu dirujuk terlebih dahulu kepada dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja memandangkan implikasinya terhadap peranan, kedudukan dan kemuliaan institusi Raja-Raja.Tambahnya, sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat secara teliti dan berhemah selain mendapat sokongan konsensus yang meluas."Pas kekal komited kepada usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah dengan syarat ia dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan kehendak dan semangat perlembagaan negara," tambahnya.