SEREMBAN -Ibu kepada pemandu Honda Jazz yang mengakibatkan tiga maut dalam kemalangan di Senawang 6 Mac tahun lalu, dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap orang kena saman(OKS) Nur Farahidayah A Rahman, 41, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan.Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya wanita terbabit gagal membayar denda berkenaan.Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan seorang kanak-kanak memandu kenderaan tersebut tanpa lesen memandu yang sah.Kesalahan itu dilakukan pada jam lebih kurang 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, di sini pada 6 Mac 2025.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Peguam, Johan Radzi memohon hukuman denda minimum diberikan kepada anak guamnya yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai enam anak, yang mana empat daripadanya masih bersekolah.Katanya, tertuduh merupakan tulang belakang utama keluarga selain turut menjaga kedua ibu bapanya."Pengakuan salah OKS telah menjimatkan masa mahkamah dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Dia juga memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan dilakukan," katanya.Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin memohon hukuman denda maksimum dengan mengambil kira keseriusan kes yang menyebabkan kematian tiga individu.Tambahnya, mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan awam daripada peribadi."Sewajarnya OKS sebagai seorang ibu perlu memastikan anaknya tidak memandu kenderaan,"katanya.Sebelum ini media melaporkan, kereta Honda Jazz dipandu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal.Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini pada 10 Mac lalu.