Perjanjian kerajaan dengan Arm Holdings ikut prosedur - Menteri Ekonomi

SHAH ALAM - Perjanjian mega antara kerajaan dan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings yang kini disiasat Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat mengikut prosedur.Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, proses pemeteraian kerjasama tersebut dibuat ketika Sidang Kemuncak KL20 pada 22 dan 23 April 2024 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dua pertemuan dengan pihak syarikat berkenaan."Bekas Menteri Ekonomi ketika itu (Datuk Seri Rafizi Ramli) melakukan perbincangan susulan. Semasa acara ini, wakil syarikat Arm Holdings telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar susulan apa yang kita capai pada KL20."Wakil syarikat telah bertemu bekas Menteri Ekonomi pada 21 November 2024 disusuli dengan perbincangan antara Arm dan Datuk Seri Anwar pada 10 Februari 2025."Kerjasama dengan Arm juga diputuskan di peringkat pembuat keputusan kerajaan tertinggi di Kabinet," katanya menerusi satu hantaran video di media sosialnya pada Jumaat.SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan Arm Holdings yang dianggarkan bernilai RM1.11 bilion.Ia susulan penelitian SPRM terhadap maklumat diberikan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung seorang bekas menteri kanan sebuah kementerian dan siasatan awal SPRM mendapati perjanjian mega tersebut dipercayai dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.Rafizi pada Khamis kemudiannya mendedahkan peranan Anwar dalam isu pelaburan kontroversi yang sedang disiasat itu susulan SPRM memohon bantuan awam mengesan bekas pembantunya, James Chai.Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Anwar sendiri yang meminta mereka menyusun pertemuan dengan gergasi semikonduktor tersebut.Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga telah membincangkan kerjasama dengan ARM sebanyak dua kali bermula dari 24 Januari 2025 dan 28 Februari tahun lalu.Beliau menambah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan tidak mempunyai halangan terhadap kerjasama itu, namun menetapkan beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi.Ujarnya, antara syarat ditetapkan ialah memasukkan klausa penamatan dan pelaksanaan bayaran secara berfasa."Perbincangan agak panjang. MITI dan Kementerian Kewangan turut beri maklum balas, syarat yang mereka hendak turut dimasukkan sekali dalam perjanjian tersebut," katanya.