PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih menunggu laporan daripada Peguam Negara berhubung isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut.Beliau berkata, kerajaan tidak wajar membuat kesimpulan selagi laporan rasmi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki belum diterima dan diteliti sepenuhnya."Laporan itu yang saya tunggu. Katanya hari ini, tetapi (setakat ini) belum terima (laporan)," kata beliau ketika ditanya sama ada laporan siasatan jawatankuasa khas berkenaan telah disiapkan.Anwar berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sempena Program Ihya’ Ramadan di sini pada Jumaat.Pada 13 Februari lepas, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu yang didakwa memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.Pada 19 Februari lalu, Azam telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham itu.Sebelum ini, dilaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.- Bernama