'Kotak fius meletup, abang cuba merangkak ke pintu, tapi semuanya terlambat'

PELAKON Adrea Abdullah berkongsi berita duka pemergian abangnya, Nik Muzaidi Nik Abdullah, 53, dalam satu kebakaran yang berlaku di rumah ibu bapa mereka pada pagi Khamis.Menurut Adrea, kebakaran berpunca daripada kotak fius yang mengalami litar pintas dan meletup sekitar jam 9 pagi."Rumah ibu bapa saya terbakar selepas kotak fius mengalami litar pintas dan meletup. Ayah tiada di rumah ketika itu, manakala ibu baru sahaja selesai mandi. Ibu terdengar letupan, nampak api marak dan sempat keluar sambil menjerit meminta tolong."Jiran-jiran memecahkan pagar elektrik dan membantu membawa ibu ke tempat yang selamat."Namun abang saya berada di tingkat atas, sedang tidur lena selepas bekerja tiga hari berturut-turut dan sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah."Kebakaran bermula di bawah biliknya dan asap dengan cepat memenuhi ruang tersebut. Ketika dia terjaga dan cuba merangkak ke pintu, semuanya sudah terlambat. Dia telah menyedut terlalu banyak asap lalu pengsan. Apabila anggota bomba menemuinya, mereka cuba melakukan CPR, tetapi dia sudah tiada," titip Adrea.Menurut Adrea, abangnya itu adalah tempat dia mengadu, bermanja dan belajar erti kekuatan."Saya masih ingat dia pernah menyuruh saya berdiri di atas ketulan ais sehingga cair, hanya untuk menunjukkan saya kuat. Saya juga ingat memanjat pokok, memanjat rak stor malah memanjat apa sahaja bersama abang."Abang juga ada ketika hidup saya hancur selepas bercerai. Abang yang membantu saya berpindah ke apartmen dan memberi kekuatan untuk bangkit semula."Saya akan merindui mesej-mesej nakal abang, video-video lucu yang abang hantar dan yang paling saya akan rindui ialah gelak tawa abang, gurauan abang, kasih sayang dan pelukan abang, Abe Zedy. Abang adalah seorang abang yang sangat baik dan anak yang sangat berbakti, sentiasa ada untuk papa dan mama," kongsinya.Mengakui masih tidak percaya menerima berita kehilangan itu, Adrea berkata, dia berasa seolah-olah dunia terhenti seketika dan sukar menerima realiti bahawa abangnya sudah tiada."Semalam, selepas pasukan forensik selesai menjalankan tugas mereka, saya naik ke bilik abang untuk cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku. Saya tidak dapat bayangkan apa yang abang rasa ketika itu."Saya sangat sedih kerana abang bersendirian. Saya hanya mampu membayangkan betapa sukarnya untuk bernafas dalam kepulan asap itu. Namun saya bersyukur abang tidak sempat dijilat api. Tubuh abang kebanyakannya tidak mengalami kecederaan kecuali sedikit kesan terbakar akibat bahang," titipnya.Berpeluang mendirikan solat jenazah buat abang tersayang, Adrea bagaimanapun reda dan terpaksa menerima kenyatan segalanya sudah berubah."Saya sempat menunaikan solat jenazah, melihat dan mencium abang buat kali terakhir sebelum dikebumikan."Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segala urusan. Dengan hati yang berat, saya cuba merelakan pemergian Abe."Namun, abang akan sentiasa hidup dalam hati saya sepanjang hayat. Maaf kerana saya tidak selalu memberitahu abang betapa saya sayang dan bersyukur mempunyai abang seperti abang."Saya sayang Abe selama-lamanya," titipnya.Perkongsian itu menerima ucapan takziah daripada rakan selebriti dan warga maya. Rata-rata mendoakan agar roh dicucuri rahmat dan keluarga Adrea diberikan kekuatan. - Sinarplus