KOTA KINABALU - Lebih 400 pelajar dari Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di negara Asia Barat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan terkawal susulan konflik yang melanda.Perkara itu disahkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika mengulas situasi melibatkan pelajar tajaan kerajaan negeri.Beliau berkata, setakat ini pihaknya sentiasa berhubung dengan pegawai Yayasan Sabah yang ditugaskan di Kaherah bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan pelajar."Setakat ini mereka berada dalam keadaan baik kerana saya sudah menghubungi pegawai Yayasan Sabah yang ditugaskan di Kaherah dan sentiasa berhubung dengan beliau."Yang penting bagi saya, dari semasa ke semasa mereka perlu terus berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Jordan dan Arab Saudi."Kita juga sentiasa berhubung dengan pihak bertanggungjawab di Wisma Putra serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan anak-anak kita di sana," katanya ketika ditemui pada Program Mutiara Ramadan Sempena Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M di Dewan Saadah, di sini pada Jumaat.Menurutnya, pelajar Sabah di Asia Barat antaranya berada di Mesir, Jordan dan Madinah dengan jumlah keseluruhan melebihi 400 orang."Paling ramai pelajar kita berada di Mesir, kebanyakannya menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam pelbagai bidang pengajian agama, selain terdapat juga yang mengambil bidang perubatan."Pelajar di Jordan dan Madinah pula tidak ramai dan kebanyakan mereka ini penerima biasiswa daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), diikuti Yayasan Sabah serta kerajaan negeri melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)," katanya.Mohd Arifin berkata, keadaan di Mesir ketika ini juga dilaporkan stabil berdasarkan maklumat yang diterima daripada pegawai yang bertugas di negara berkenaan.Katanya, pegawai Yayasan Sabah yang ditempatkan di Kaherah telah berkhidmat lebih 10 tahun dan turut menguruskan kebajikan pelajar Sabah ketika krisis yang pernah berlaku di negara itu sebelum ini.Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan mematuhi sebarang keputusan atau arahan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan, khususnya melalui Wisma Putra dan KPT sekiranya keadaan memerlukan tindakan lanjut.