Hong Leong Islamic Bank edar 700 bubur lambuk di KL

KUALA LUMPUR - Hong Leong Islamic Bank terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menjalin kerjasama strategik bersama Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dalam menjayakan Program Ihya’ Ramadan 2026.Ketua Pematuhan Hong Leong Islamic Bank, Mohd Feqah Mohd Ngadil berkata, menerusi program tersebut Hong Leong Islamic Bank mengagihan sebanyak 700 bungkusan bubur lambuk kepada masyarakat di sekitar masjid berkenaan.Menurutnya, sebanyak tiga periuk besar bubur lambuk dimasak seawal pagi untuk diagihkan kepada masyarakat di kawasan sekitar."Sasaran kami adalah kepada komuniti setempat dan pengguna pengangkutan awam di sekitar kawasan berkenaan selain golongan gelandangan. Alhamdulillah bubur lambuk habis dalam masa 30 minit sahaja."Bagaimanapun, agihan tidak tertumpu di satu lokasi sahaja. Saya bersama 30 kakitangan dan para sukarelawan bergotong-royong bersama pengurusan masjid menjayaan program ini."Program ini merupakan kali pertama dianjurkan di Masjid Jamek, namun ia adalah sebahagian daripada program tahunan Ihya Ramadan yang dilaksanakan oleh pihak bank," katanya kepada Sinar Harian.Kerjasama ini menggabungkan pengayaan rohani dengan penawaran kekayaan berteraskan nilai melalui tema 'Prinsip Abadi Membimbing Kekayaan Masa Hadapan'.Ia turut memberi tumpuan kepada inisiatif Tadarrus al-Quran dan Pendidikan dengan penghargaan sagu hati RM300 kepada 24 guru tadarrus, yang disalurkan menerusi pembukaan Akaun HLISB Meezani-i sebagai galakan simpanan patuh Syariah.Jelas Mohd Feqah, setiap tahun Hong Leong Islamic Bank akan memilih lokasi dan kumpulan sasar yang berbeza bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu sepanjang bulan Ramadan."Ini merupakan sumbangan kecil daripada pihak kami berbanding dengan cabaran dan kesusahan yang mungkin dihadapi oleh mereka yang berpuasa pada hari ini."Walaupun nilainya tidak seberapa, kami berharap usaha ini dapat memberikan sedikit kelegaan serta keberkatan kepada para penerima."Selain itu, kami juga ada menganjurkan aktiviti lain sempena Ramadan misalnya majlis berbuka puasa dengan beberapa pihak lain,"ulasnya.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank, Dafinah Ahmed Hilmi, memaklumkan bahawa sempena ulang tahun ke-20 bank, HLISB melangkah ke hadapan dengan penawaran pengurusan kekayaan yang diperbaharui.Beliau menjelaskan inisiatif ini bertujuan mempermudah dan melancarkan pengurusan kekayaan Islam, serta benar-benar mencipta nilai untuk pelanggan dan komuniti."Penawaran baharu ini berpaksikan lima tonggak utama pengurusan kekayaan Islam iaitu penciptaan, pengumpulan, pemeliharaan, penyucian, dan pengagihan."Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa malah masa untuk muhasabah, pembaharuan, dan memberi. Semasa menyambut bulan mulia ini kita diingatkan bahawa tadbir urus sebenar bermula dengan kekayaan jiwa."Dengan menyokong para pendidik dan program komuniti masjid hari ini, kami menterjemahkan penawaran kekayaan baharu kami melalui nilai ihsan dan khidmat. Apabila komuniti diperkasa, kita membantu memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan untuk semua," katanya.