KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi bagi membincangkan perkembangan serantau di Timur Tengah.Menurut Kementerian Luar Iran, semasa panggilan itu Anwar merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Pemimpin Agung negara itu Ayatollah Ali Khamenei serta rakyat Iran yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan ketenteraan oleh AS dan Israel terhadap Iran, yang disifatkannya sebagai bertentangan dengan peraturan, prinsip dan norma moral antarabangsa, menurut kementerian itu dalam satu hantaran di platform X pada Jumaat."Perdana Menteri Malaysia itu turut merujuk kepada rundingan politik yang sedang dilaksanakannya dengan pemimpin negara serantau serta menggesa agar perang pencerobohan dihentikan segera dan keamanan serta kestabilan di rantau itu dipulihkan, sambil menambah bahawa Malaysia akan melakukan segala usaha dalam hal ini," menurut kenyataan itu.Sementara itu, Araghchi mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas perutusan takziah serta pendiriannya yang mengecam pencerobohan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran serta pembunuhan pemimpin negara itu dan rakyat Iran.Araghchi seterusnya menyatakan bahawa Iran tidak mempunyai sebarang permusuhan terhadap negara di sepanjang Teluk Parsi dan kekal komited terhadap dasar kejiranan baik serta persahabatan dengan negara berkenaan.Beliau menambah bahawa adalah dikesalkan apabila wilayah negara-negara Islam di rantau itu telah dieksploitasi semasa bulan suci Ramadan oleh penceroboh AS untuk melancarkan serangan terhadap sebuah negara Islam serta membunuh umat Islam. - Bernama