SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempolemikkan calon Perdana Menteri, sebaliknya cadangan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan berkenaan dibuat ketika perhimpunan tertinggi parti itu.Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, adalah menjadi amalan biasa parti untuk mengusulkan nama pemimpin sebagai calon Perdana Menteri untuk dibahaskan sebelum diluluskan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.Menurutnya, langkah tersebut juga sebahagian daripada proses penyusunan semula parti selepas beberapa tindakan diambil bagi memperkukuhkan semula Bersatu."Dari segi calon Perdana Menteri, ia tidak perlu dipolemikkan. Bersatu tidak berpolemik tentang perkara itu. Calon Perdana Menteri bagi Bersatu telah dibawa ke dalam platform tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tahun 2025."Kita usul, bahas, putuskan dalam PAT 2025 dan calon Perdana Menteri ke-11 bagi Bersatu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan merit iaitu pengalaman panjang beliau di pusat dan negeri, keupayaan beliau yang teruji dalam menghadapi krisis dan hasil kaji selidik penerimaan rakyat," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menegaskan bahawa Muhyiddin bukan calon Perdana Menteri.Kenyataan Menteri Besar Terengganu itu menyusul selepas Muhyiddin dilapor berkata, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas bukan calon bagi pemimpin nombor satu negara mewakili gabungan berkenaan.Mengulas lanjut, Tun Faisal turut bersetuju bahawa aspek pemilihan calon Perdana Menteri bagi PN perlu dibincangkan dan diputuskan secara konsensus oleh Majlis Presiden gabungan berkenaan."Cuma dari segi proses, bawalah ke perhimpunan agung parti masing-masing terlebih dulu sebelum dicadangkan kepada Majlis Presiden PN."Untuk PN, memang keputusan Majlis Presiden dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN melantik Dr Sam (Ahmad Samsuri) adalah bagi melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan operasi harian PN," katanya.Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Muhyiddin menolak usaha menyatukan parti Melayu, Tun Faisal menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas.Malah katanya, Muhyiddin sentiasa berusaha menyatukan bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain."Sebab itu Tan Sri terlibat sama dalam usaha menggerakkan Payung Besar Melayu dan Ikatan Prihatin Rakyat. Cuma objektif sesuatu usaha itu perlu jelas," katanya.