Pemandu BMW 'drift' naik Genting Highlands ditahan

BENTONG- Pemandu kereta mewah yang dikesan memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi 'drift' dipercayai ketika perjalanan menuju Genting Highlands baru-baru ini ditahan polis pada Jumaat.Penahanan lelaki berusia 29 tahun itu susulan video aksinya yang tular di platform Tiktok.Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek ditahan ketika hadir ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 11 pagi."Pihak polis turut menyita kereta jenis BMW 325I digunakan untuk siasatan lanjut."Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah," katanya.Zaiham berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.Beliau berkata, usaha mengesan lelaki itu dilakukan susulan video berdurasi 14 saat aksi memandu secara berbahaya di jalan naik ke Genting Highlands yang dikesan Isnin lalu."Hasil siasatan awal mendapati, sebuah kenderaan mewah jenis BMW 325I dipandu secara berbahaya dengan aksi 'drift' di laluan berselekoh menuju ke pusat peranginan tersebut," katanya.Sementara itu, Zaiham menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas ditetapkan."Jangan melakukan.sebarang aksi pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain," tegurnya.