KJ umum hasrat kembali sertai UMNO

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malam tadi secara terbuka mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.Khairy yang dipecat UMNO empat tahun lalu itu berkata, beliau melihat kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat sebagai perkembangan positif dan peluang murni buat dirinya.Khairy berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Zahid pada 6 Mac itu yang membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian turut memberi makna kepada dirinya."Kenyataan panas keluar pada hari ini, 6 Mac, daripada Presiden UMNO bahawa UMNO buka pintu penyatuan tanpa syarat."UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian. Kenyataan dah dibuat seperti itu oleh Datuk Seri Zahid."Ini juga berkaitan dengan diri kita. Mungkin Syahrir ada pendirian sendiri, saya pun ada pendirian sendiri. Tetapi bila dah diundang begitu, maka saya dah lama sebut bahawa saya ingin kembali ke UMNO."Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan satu peluang yang murni bagi saya secara peribadi," ujarnya menerusi petikan episod 191 audio siar Keluar Sekejap dikongsi di laman Facebook potcast itu pada Jumaat malam.Dalam rakaman sama, Khairy turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.Sementara itu, dalam hantaran video berasingan di platform sama, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan menyatakan beliau menghargai dan menghormati isyarat ditunjukkan Presiden UMNO itu, namun mengakui lebih selesa berada di luar kerangka politik buat masa ini.Menurut Shahril, beliau ketika ini lebih selesa berada di luar gelanggang politik walaupun tidak menolak kemungkinan untuk kembali suatu hari nanti."Saya sangat menghargai dan menghormati gesture yang dibuat oleh Datuk Seri Zahid, tetapi pada ketika ini saya agak selesa di luar politik. Mungkin satu hari nanti, tetapi bukan sekarang," ujarnya.Rakaman penuh episod berkenaan yang menyentuh ulasan Khairy dan Shahril berhubung hasrat mahu kembali menyertai UMNO dan sebaliknya dijangka disiarkan di platform media sosial berkenaan pada Sabtu.Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.Beliau juga berharap usaha itu dipermudah dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara.Pada Januari 2023, UMNO mengambil tindakan disiplin tegas apabila memecat Khairy daripada parti itu.Dalam masa sama, keahlian Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan turut digantung.Sementara Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang pula dikenakan penggantungan keahlian selama enam tahun.Selain itu, tindakan pemecatan turut melibatkan beberapa ahli lain iaitu lima dari UMNO Pasir Gudang, sembilan dari UMNO Putrajaya, dua dari UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang.Mereka dikenakan tindakan berkenaan selepas didapati bertanding sebagai calon Bebas atau mewakili parti selain Barisan Nasional (BN), selain didakwa membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum ke-15.