Salah faham dipercayai punca insiden tembak, langgar

KLANG – Insiden membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang merempuh dua penunggang motosikal selepas dipercayai melepaskan tembakan Khamis lalu disyaki berpunca daripada salah faham antara pihak terlibat.Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian."Pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku susulan salah faham, namun beberapa aspek masih perlu diteliti."Dipercayai insiden ini bermotifkan salah faham, namun siasatan lanjut memerlukan masa bagi menentukan motif sebenar kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Mengulas keadaan mangsa, Vijaya Rao berkata, kedua-dua penunggang motosikal yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan stabil."Penunggang motosikal berada dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak polis telah mengambil keterangan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan."Setakat ini lima keterangan individu telah diambil dan beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan," ujarnya.Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk motif yang membawa kepada insiden berkenaan.Kejadian pada jam 9.51 pagi Khamis melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila penunggang motosikal terbabit dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada pemandu pacuan empat roda terbabit di Kampung Perepat, Klang.Shazeli berkata, pemandu pacuan empat roda itu kemudian bertindak mengejar motosikal terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama.Pembonceng motosikal itu dipercayai telah mengacukan objek menyerupai pistol sebelum dilanggar pacuan empat roda terbabit hingga kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar.Pembonceng itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.