Tiada rundingan rasmi untuk gabungan PRN Johor setakat ini - Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – UMNO Johor menegaskan tiada sebarang rundingan rasmi setakat ini dilakukan berkaitan pembahagian kerusi atau gabungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada keputusan dibuat sama ada Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo atau bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP."Sebarang kenyataan mengenai jumlah kerusi yang hendak ditandingi oleh parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan adalah hak parti masing-masing."Setakat ini, memang tiada rundingan atau keputusan dibuat. PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pada April tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada program Moreh bersama Pemuda UMNO Bahagian Pontian di Benut, Jumaat malam.Pada PRN Johor 2022 lalu, BN memenangi majoriti dua pertiga dengan 40 daripada 56 kerusi. Pakatan Harapan (PH) meraih 13 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi.Sebelum ini, Amanah Johor menyasarkan 20 kerusi DUN berpotensi untuk ditandingi, manakala PKR Johor mengenal pasti 28 kerusi DUN berpotensi.Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata beliau akan berbincang dengan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sekiranya perlu diadakan pertemuan dengan parti-parti lain."UMNO Johor menyerahkan sebarang keputusan mengenai jajaran kerusi kepada pucuk pimpinan tertinggi parti," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.