PONTIAN - Keputusan UMNO membuka pintu kepada bekas pemimpin dan ahli kembali menyertai parti itu dijangka mencetuskan gelombang baharu apabila lebih ramai tokoh politik menghantar surat permohonan untuk kembali ke pangkuan parti itu dalam masa terdekat.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendekatan berjiwa besar diambil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas apabila ruang diberikan kepada individu yang pernah dikenakan tindakan disiplin atau meninggalkan parti untuk kembali menyertai perjuangan UMNO.Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, ketika tindakan diambil terhadap beberapa pemimpin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Agung UMNO bertanggungjawab menghantar surat memaklumkan keputusan parti kepada mereka."Antara individu terbabit termasuk Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin yang dikenakan tindakan atas pelbagai sebab ketika itu."Saya bersetuju sekiranya mereka dijemput kembali menyertai UMNO dengan mengambil pendekatan 'forgive and forget', iaitu saling memaafkan serta melupakan perkara lalu bagi membuka lembaran baharu dalam parti," katanya.Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditemui pada program Moreh Pemuda UMNO Bahagian Pontian, di Benut pada Jumaat malam.Sebelum itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.Khairy yang dipecat UMNO empat tahun lalu berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Zahid pada 6 Mac itu yang membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian turut memberi makna kepada dirinya.Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut mendedahkan beberapa individu sudah mula menghantar surat permohonan untuk kembali ke dalam parti."Surat itu mudah sahaja, sekeping sahaja pun memadai menyatakan hasrat untuk kembali," katanya.Dalam masa sama, beliau turut mengimbau peristiwa penyatuan semula UMNO pada 1996 apabila parti Semangat 46 dibubarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ahli-ahlinya diterima semula secara beramai-ramai oleh Tun Mahathir Mohamad.Katanya, peristiwa itu menjadi antara detik penting dalam sejarah UMNO dan langkah membuka semula pintu kepada bekas ahli pada masa ini dilihat sebagai satu lagi langkah besar untuk mengukuhkan parti."UMNO mahu menjadi rumah bangsa yang meriah. Rumah yang ada orang, ada suara dan ada kekuatan untuk memperjuangkan rakyat," katanya.