Cubaan edar rokok seludup lebih RM2 juta gagal

KUANTAN- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya mematahkan cubaan mengedar rokok seludup bernilai lebih RM2 juta berikutan penahanan seorang lelaki di sini, Rabu lalu.Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang di Jalan Sungai Soi dekat Kampung Melati, di sini.Menurutnya, ketika ditahan suspek yang memandu kereta jenis Honda City dipercayai dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Kuantan."Hasil pemeriksaan ke atas kereta digunakan, polis menemui dan merampas sejumlah rokok disyaki tidak bercukai di tempat duduk penumpang belakang."Hasil soal siasat, suspek membongkar lokasi sebuah rumah di kawasan Pandan Perdana, di sini yang dijadikan stor simpanan," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.Mohd Khairuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah itu, pasukan serbuan menemui dan merampas 5,250 karton rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup."Dalam serbuan itu juga, pihak polis turut merampas dua telefon bimbit, kenderaan digunakan suspek dan wang tunai RM1,225."Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM2.2 juta," katanya.Tambahnya, hasil semakan, suspek tiada rekod lampau."Siasatan masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967."Suspek kini ditahan reman selama 10 hari bermula Khamis lalu hingga 14 Mac depan," katanya.Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli rokok seludup walaupun harganya jauh lebih murah di pasaran.Jelas beliau, permintaan tinggi terhadap rokok tidak bercukai itu menjadi faktor utama kegiatan penyeludupan terus berlaku."Usaha memerangi jenayah penyeludupan akan diteruskan. Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pejabat PPM berdekatan untuk tindakan lanjut," ujarnya.