Senarai hitam negara eksport sisa plastik haram

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa menyenarai hitam negara yang dikesan mengeksport sisa plastik secara haram ke Malaysia bagi mengekang lambakan bahan buangan tercemar yang dibawa masuk ke negara ini.Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Cheah Chee Choon berkata, langkah tegas itu penting bagi menangani kegiatan pengimportan dan pemprosesan sisa plastik secara haram oleh kilang tidak berlesen."Tindakan ini mampu memperkukuh kawalan kemasukan sisa plastik ke negara ini sekali gus mengelakkan Malaysia daripada menjadi destinasi pembuangan sisa dari luar negara."Kerajaan juga disaran memperhalusi cadangan moratorium ke atas pengimportan sisa plastik kerana industri ini masih memerlukan bahan mentah berkenaan untuk aktiviti kitar semula," katanya.Beliau berkata demikian ketika sesi dialog Libat Urus Bilangan 5 Tahun 2026 mengenai hala tuju pengurusan dan penguatkuasaan isu pengimportan sisa plastik serta e-waste dalam negara di Bangi pada Khamis.Cheah berkata, industri plastik di Malaysia dianggarkan memerlukan kira-kira 6.9 juta metrik tan sisa plastik setiap tahun sebagai bahan mentah kepada 178 syarikat yang menjalankan aktiviti kitar semula.Menurutnya, sisa plastik tempatan lebih murah dan mudah diperoleh, namun sisa plastik import pula biasanya mempunyai kualiti lebih tinggi walaupun harganya lebih mahal.Katanya, industri kini dalam fasa peralihan untuk menggunakan lebih banyak sisa plastik tempatan melalui sistem pengurusan sisa yang lebih efektif."Antaranya menerusi dasar Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producer Responsibility – EPR) yang diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)."Dasar ini juga telah dipraktikkan di China bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap sisa plastik import," katanya.Sementara itu, Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, aspek tadbir urus yang baik dalam pengurusan pengimportan sisa plastik perlu diberikan perhatian serius.Menurutnya, langkah tersebut penting bagi meningkatkan kawalan terhadap kemasukan bahan mentah import itu seterusnya membendung kemasukan sisa plastik yang tercemar atau bercampur dengan bahan lain."Pelaksanaan pelan jangka masa panjang juga perlu bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap sisa plastik dari luar negara."Dalam masa sama, inisiatif kitar semula sisa plastik tempatan perlu diperkasakan bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mampan," katanya.Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan industri plastik negara turut menyokong sektor pembuatan bernilai tinggi khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E).Berdasarkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hasil jualan Approved Permit (AP) membabitkan 77 syarikat pemegang dianggarkan bernilai RM3.2 bilion pada 2023.Produk plastik daripada industri kitar semula itu lazimnya dieksport sebagai produk bernilai tambah termasuk komponen sektor E&E, peralatan perubatan, aeroangkasa dan pembungkusan makanan.Sehingga 31 Disember 2025, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan sebanyak 178 syarikat menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik di negara ini.Daripada jumlah itu, sebanyak 142 syarikat memiliki Lesen Pengilang manakala 36 lagi telah diluluskan pengecualian daripada lesen pengilang (ICA10).