Konflik Asia Barat: Usaha awal bawa keluar rakyat, pelajar sedang disusun

MANJUNG - Usaha awal sedang disusun oleh kerajaan bagi membawa keluar rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di kawasan konflik Asia Barat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ssri Dr Zambry Abdul Kadir.Beliau berkata, perkara itu sedang diselaraskan bersama Kementerian Luar yang bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal rakyat Malaysia di luar negara termasuk pelajar yang sedang menuntut di negara berkenaan.Menurutnya, sebarang tindakan lanjut termasuk usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari kawasan terlibat akan dibuat berdasarkan penilaian serta arahan kementerian tersebut."Bagi pelajar-pelajar kita, kita akan bekerjasama seperti yang telah saya sebutkan dengan Kementerian Luar. Apa pun langkah-langkah itu kita serahkan kepada pihak Kementerian Luar mengenai keadaan di Timur Tengah (Asia Barat) ini," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung kepada 377 keluarga yang terjejas akibat bencana banjir tahun lalu di sini pada Sabtu.Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim.Zambry berkata, sekiranya terdapat keperluan atau arahan daripada Kementerian Luar, pihaknya bersedia membantu proses membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik."Setakat ini usaha-usaha awal yang saya difahamkan ialah bagaimana kita hendak menyusun proses untuk mengeluarkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan krisis tersebut," katanya.Terdahulu, Zambry memaklumkan sebanyak 1,936 pelajar Malaysia yang menuntut di enam negara Timur Tengah disahkan berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan di rantau berkenaan.Jumlah pelajar mengikut negara ialah Iran (enam), Qatar (tiga), Kuwait (sembilan), Emiriah Arab Bersatu (21), Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762).Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan program Dapur Siswa, Zambry berkata, pihaknya telah meminta supaya inisiatif tersebut diperluaskan ke institusi lain termasuk politeknik bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.Katanya, berdasarkan lawatan yang dilakukan di beberapa universiti sebelum ini, pelaksanaan program berkenaan berjalan dengan baik di semua universiti terlibat."Dalam lawatan saya baru-baru ini di Universiti Malaysia Kelantan, saya dapat melihat sendiri perjalanan Dapur Siswa yang dilaksanakan dengan baik oleh pihak universiti bersama mahasiswa," katanya.Pada Januari lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa Madani.Peruntukan tersebut disalurkan daripada dana Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak digunakan pada tahun sebelumnya.