KUALA LUMPUR - Empat pemain saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi sepanjang tempoh 12 bulan susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya baru-baru ini.Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat pemain itu terdiri daripada tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC,Gabriel Palmero."MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan CAS."Pemakluman itu menyatakan tujuh pemain berkenaan tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak," menurut kenyataan itu.Empat pemain itu antara tujuh yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia.Pada Khamis lepas, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain itu terhadap hukuman FIFA dan memutuskan mereka tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan serta denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM adalah wajar, setimpal dan tetap berkuat kuasa.Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, larangan untuk bermain perlawanan bermula pada 5 Mac 2026, mengambil kira tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026 di mana penggantungan telah dilaksanakan secara berkesan.- Bernama