MANJUNG – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin penyertaan semula bekas ahli, termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ke dalam parti dapat memperkukuh kelangsungan agenda Rumah Bangsa.Beliau berkata, Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO itu menekankan pendekatan tindakan secara kolektif dan bukannya tertumpu kepada kekuatan seseorang individu semata-mata."UMNO ialah landasan bukan untuk seorang, tetapi untuk semua termasuklah KJ (Khairy Jamaluddin) dan sebagainya."Jadi masing-masing mempunyai kekuatan, masing-masing mempunyai sumbangan yang boleh dinyatakan seperti yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung kepada 377 keluarga yang terjejas akibat banjir tahun lalu di sini pada Sabtu.Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim.Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, konsep Rumah Bangsa sebenarnya mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan UMNO yang menjadi wadah penyatuan orang Melayu sejak sebelum kemerdekaan.Menurut beliau, pada tahun 1946 lebih daripada 100 pertubuhan Melayu berhimpun untuk bersatu menentang cabaran besar ketika itu iaitu penubuhan Malayan Union, sekali gus menjadikan UMNO sebagai rumah bangsa yang besar."Meskipun selepas itu kita melihat perjalanan politik berkembang dengan kemunculan pelbagai parti yang kebanyakannya lahir daripada UMNO sendiri."Namun konsep mengekalkan rumah bangsa itu merupakan satu idea besar yang baik oleh Presiden UMNO," katanya.Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti itu tanpa syarat di bawah inisiatif Rumah Bangsa.Pelawaan itu juga terbuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan demi memperkukuh kesatuan dan kestabilan politik.Sebelum ini, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti tersebut susulan kenyataan Zahid yang membuka ruang kepada bekas ahli kembali bersama perjuangan UMNO.