Bersatu bezakan ‘Payung Besar Melayu’ dengan ‘Rumah Bangsa’ Zahid

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan konsep 'Payung Besar Melayu' yang diperjuangkan parti itu berbeza dengan cadangan 'Rumah Bangsa' atau 'Kolaborasi Agung' dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, cadangan Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung dilihat lebih bertujuan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedang memerintah.Beliau berkata, terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-dua konsep tersebut dari segi tujuan dan hala tuju politik.Menurutnya, konsep Payung Besar Melayu bertujuan menyatukan parti serta gerakan Melayu di bawah satu platform besar bagi membentuk kekuatan politik Melayu yang baharu."Usaha ini juga bertujuan membina alternatif kepada kerajaan sedia ada, selain mencari jalan supaya masyarakat Melayu dapat menguasai semula kerajaan."Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu serta memastikan kepentingan agama, bangsa dan ummah terus diperkukuhkan," ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.Sebaliknya, Tun Faisal berkata, cadangan Rumah Bangsa atau Kolaborasi Agung yang dikemukakan Ahmad Zahid lebih menjurus kepada kerjasama antara parti Melayu-Islam tanpa bertujuan menggugat kerajaan sedia ada.Beliau berkata, kerjasama itu juga dilihat masih menyokong kepimpinan Anwar serta Kerajaan Perpaduan."Orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia memerlukan gabungan politik yang benar-benar berprinsip, bukan sekadar platform politik untuk mengekalkan kerajaan sedia ada."Gabungan itu perlu menjadi alternatif yang nyata kepada kerajaan, memperjuangkan kepentingan Islam, ummah, Melayu dan Bumiputera serta menegaskan keprihatinan rakyat tanpa agenda tersembunyi," ujarnya.Tun Faisal turut mendakwa idea Payung Besar Melayu lahir sebagai reaksi terhadap kelemahan pemimpin Melayu dalam kerajaan, termasuk menteri daripada UMNO yang menurutnya tidak mampu mempertahankan agenda Melayu-Islam secara berkesan.Katanya, tujuan inisiatif itu adalah untuk menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam agar kepentingan agama, bangsa dan ummah tidak dipinggirkan.Sebaliknya, beliau mendakwa cadangan Rumah Bangsa atau Kolaborasi Agung oleh Ahmad Zahid lebih dilihat sebagai strategi untuk mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) serta kepimpinan Anwar yang menurutnya terbentuk hasil pengkhianatan undi pengundi BN dan PH.Tun Faisal juga mendakwa pelbagai isu timbul ketika UMNO berada dalam kerajaan PH-BN, termasuk tekanan kos sara hidup, pendapatan boleh guna yang menyusut, peningkatan hutang isi rumah serta keadaan ekonomi negara yang didakwanya semakin suram.Selain itu, beliau turut menyentuh isu peningkatan tarif utiliti, penarikan subsidi secara besar-besaran, kenaikan cukai serta beberapa isu lain termasuk keputusan berkaitan kes Rayuan Kalimah ALLAH dan Enakmen Syariah.Menurutnya, perbezaan utama antara Payung Besar Melayu dengan Rumah Bangsa atau Kolaborasi Agung adalah jelas."Satu menekankan alternatif politik Melayu yang tulen, manakala satu lagi masih bergantung kepada kepimpinan Anwar, DAP dan Pakatan Harapan serta menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada," ujarnya.Beliau berkata orang Melayu dan rakyat Malaysia memerlukan gabungan politik yang benar-benar berprinsip serta menawarkan alternatif jelas kepada kerajaan, bukannya sekadar muslihat politik menjelang pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, cadangan Kolaborasi Agung itu tidak berniat menggugat Kerajaan Perpaduan, sebaliknya bertujuan menyatukan roh serta perjuangan parti Melayu dan Islam dalam satu kerangka lebih besar.Beliau turut memberi jaminan bahawa inisiatif berkenaan tidak mempunyai agenda untuk menggugat kerajaan sedia ada atau melakukan "tebuk atap", sebaliknya bagi menghimpunkan parti politik Melayu-Islam di bawah satu bumbung demi memperkukuh agenda Islam dan Melayu.