JOHOR BAHRU – Seramai 81 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan Pandan di sini pada Sabtu.Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu dijalankan menerusi Ops Belanja, Ops Kutip dan Ops Selera yang menyasarkan beberapa premis perniagaan termasuk kedai runcit serta premis makanan.Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).Beliau berkata, tindakan itu dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang mendapati terdapat warga asing menjalankan aktiviti perniagaan secara berani di premis berkenaan."Pemeriksaan mendapati ada warga asing menjalankan aktiviti menjual barangan seperti buah-buahan, ayam segar, daging dan ikan di premis kedai runcit serta bekerja di premis makanan."Lebih mengejutkan, ada antara mereka bukan sahaja bekerja malah bertindak sebagai pengusaha di premis berkenaan tanpa kebenaran sah daripada agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati seramai 81 lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen."Daripada jumlah itu, 46 orang adalah warganegara Bangladesh, Pakistan (10), Myanmar (23), selain seorang masing-masing dari India dan Nepal."Kesemua mereka dipercayai bekerja di premis terbabit dan ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.Menurutnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.Dalam operasi sama, sebanyak enam keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.Mohd Rusdi berkata, pihaknya menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti warga asing di negeri ini."JIM Johor mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran."Kita akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal secara haram di negara ini, termasuk majikan yang melindungi atau menggaji PATI," katanya.