'Yang perlu turunkan ego itu adalah kamu, bang Isham' - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil adalah individu sepatutnya yang perlu menurunkan ego bagi memastikan usaha penyatuan dalam parti dapat direalisasikan.Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang penyertaan semula tanpa syarat jelas menunjukkan jiwa besar beliau untuk menerima kembali ahli pernah dibuang dan digantung."Yang perlu turunkan ego ini adalah kamu bang Isham Jalil. Jika masih mencari kesalahan, maka percayalah sampai bila-bila kita akan berpecah."Semua ada kesalahan masing-masing, kita ambil sebagai pengajaran dan kita kuatkan saf," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.Sebelum ini, Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO menolak ajakan Ahmad Zahid yang mempelawa mana-mana ahli pernah digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti itu dan Rumah Bangsa.Beliau turut memberi saranan kepada Ahmad Zahid supaya menurunkan ego dengan meminta maaf kepada ahli parti dipecat dan digantung keahlian secara bersemuka, sekiranya benar-benar ikhlas.Muhamad Akmal berkata, perpecahan yang berlarutan tidak memberi manfaat kepada perjuangan parti.Sebaliknya, kata beliau, keutamaan perlu diberikan kepada usaha penyatuan demi kepentingan agama dan bangsa."Cukup-cukuplah kita berpecah. Penyatuan agama bangsa lebih utama dari kepentingan diri kita," ujarnya lagi.