KUALA TERENGGANU - Karangkraf bersama Nestle tampil menyantuni golongan miskin bandar melalui program CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive yang diadakan di Masjid At-Taqwa, Durian Burung, di sini pada Sabtu.Program ini merupakan anjakan baharu syarikat tersebut dalam mendekati masyarakat, khususnya bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar.Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, inisiatif itu tercetus memandangkan program tahunan Iftar Ala Madinah yang sering diadakan di Dataran Karangkraf direhatkan seketika pada tahun ini."Selama ini, setiap Ramadan kita mengadakan Iftar Ala Madinah di Karangkraf, namun selepas empat tahun, tahun ini kita berehat seketika. Justeru, kita fikirkan program untuk mendekati dan membantu masyarakat terutamanya golongan miskin bandar."Disebabkan komitmen hidup yang tinggi, kita ambil inisiatif untuk membantu meringankan bebanan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan sumbangan melibatkan 100 penerima di sini.Menurut Muhammad Nasir, beliau turut berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi meluaskan lagi skala bantuan tersebut pada masa akan datang."Setakat ini kita berkolaborasi dengan Nestle, namun untuk masa hadapan, kita amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai atau mana-mana pihak kerana usaha ini melibatkan kos yang agak besar."Jika dana yang diterima lebih banyak, kita boleh meluaskan lagi kawasan bantuan dan meningkatkan bilangan penerima dan setiap sumbangan akan disalurkan kepada golongan sasar," ujarnya.Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat dan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin menjelaskan, program rintis ini memfokuskan kepada 1,000 keluarga di dua zon utama iaitu Lembah Klang dan Pantai Timur (Kuantan, Kuala Terengganu, dan Kota Bharu).Katanya, Karangkraf akan meneruskan program CSR seumpama itu secara berterusan bagi membantu meringankan bebanan komuniti yang memerlukan."Kita memilih untuk fokus kepada miskin bandar kerana mereka adalah penggerak ekonomi yang sebenarnya paling terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini."Apabila kita dapat meringankan sedikit bebanan mereka, ia secara tidak langsung memberi semangat untuk mereka memajukan keluarga serta meningkatkan efisiensi kerja di pejabat dan sebagainya," jelas beliau.Tambah beliau, setiap kotak sumbangan daripada Nestle yang bernilai RM250 itu mengandungi barangan keperluan asas seperti Milo, bijirin, susu, bahan masakan dan mi segera."Benda ini nampak ringkas, tapi bagi golongan B40 di bandar, penjimatan jumlah tersebut amatlah mereka hargai," ujarnya.Dalam pada itu, Pengerusi Masjid At-Taqwa, Wan Zaimuddin Wan Abdullah melahirkan rasa syukur atas pemilihan masjid tersebut sebagai lokasi agihan yang melibatkan penduduk dari Kampung Durian Burung dan Kampung Bukit Kubang Jambu."Seramai 100 penerima sumbangan terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang berdaftar di bawah program Gerobok Rezeki masjid."Kita amat mengharapkan bantuan barangan keperluan asas seperti ini diteruskan kerana ia adalah keperluan utama yang sangat diperlukan oleh golongan susah," katanya.Hadir sama pada majlis tersebut ialah Wakil Nestle Terengganu, Yuslizan Mohamed.