PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik antarabangsa ketika ini.Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan wang dan mengelakkan pembaziran khususnya dalam tempoh Ramadan dan menjelang Aidilfitri.Menurutnya, keadaan dunia ketika ini sedang berdepan pelbagai konflik yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak serta kos barangan asas."Dalam keadaan sekarang yang masih terkawal, saya ingin mengingatkan rakyat supaya lebih cermat, berjimat dan cuba menyimpan."Dalam bulan puasa dan hari raya nanti, jangan terlalu boros kerana kita belum tahu berapa lama keadaan ekonomi ini boleh bertahan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul al-Quran 1447H di sini pada Sabtu.Anwar turut menyentuh perkembangan konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global termasuk kenaikan harga minyak dunia.Menurutnya, perang yang berlaku di Iran menyebabkan harga minyak dunia melonjak sehingga dua kali ganda, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi global.Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan masih berusaha mengekalkan harga bahan api pada kadar semasa demi mengurangkan beban rakyat."Saya cuba pertahankan harga selagi boleh termasuk pada kadar RM1.99 (seliter)."Kita berdoa mudah-mudahan dapat dipertahankan walaupun kita tidak tahu sampai bila kerana harga minyak dunia sudah naik hampir dua kali ganda," katanya.Tambah beliau, keadaan juga menjadi lebih rumit apabila laluan penting perdagangan dunia di Selat Hormuz terjejas apabila kapal-kapal pengangkut minyak dan gas disekat."Lebih 200 kapal tangki besar yang membawa minyak, gas serta peralatan kejuruteraan kini tersekat di laluan berkenaan, menyebabkan kos pengangkutan meningkat."Situasi itu turut memberi kesan kepada harga makanan dan baja yang dibawa dari beberapa negara seperti Ukraine, Rusia dan Eropah. Semua ini menyebabkan kos meningkat dengan mendadak dan memberi kesan kepada harga barang," ujarnya.Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sedang mengadakan pertemuan bagi mencari jalan untuk mengekang kesan kenaikan kos tersebut terhadap rakyat.Namun pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya bersedia dan lebih bijak mengurus kewangan sekiranya keadaan ekonomi global menjadi lebih mencabar."Kalau datang kegawatan ekonomi yang besar, ia bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan. Sebab itu rakyat perlu sama-sama sedar dan saling membantu."Saya berharap rakyat terus diberikan kekuatan dan kesejahteraan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa," katanya.Terbaharu media melaporkan, konflik antara Iran dan pakatan Amerika Syarikat (AS)-Israel terus meluas di seluruh Asia Barat pada Jumaat, dengan serangan ketenteraan baharu, insiden keselamatan serantau serta kesan kemanusiaan dan ekonomi yang semakin meningkat dilaporkan di beberapa negara.Komander Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper mendakwa pesawat pengebom B-2 Amerika telah menggugurkan puluhan bom penembus seberat 2,000 paun (kira-kira 900 kilogram) ke atas pelancar peluru berpandu balistik bawah tanah Iran dengan hampir 200 sasaran di seluruh Iran diserang sepanjang 72 jam lepas, termasuk kawasan sekitar ibu negara Tehran, lapor Anadolu Ajansi.