PERMATANG PAUH - Anak-anak muda perlu dididik dengan ilmu, penerangan serta kesedaran yang mencukupi bagi mengelakkan mereka mudah terpengaruh dengan fahaman ekstremis yang cuba disebarkan pihak luar.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa asas ilmu yang kukuh, golongan muda mudah dipengaruhi dengan hasutan luar yang membawa ideologi keganasan.Menurutnya, perkara itu dibangkitkan susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengenai kemunculan sekumpulan anak muda berusia kira-kira 18 dan 19 tahun yang dipercayai terpengaruh dengan ideologi kumpulan Islamic State (IS)."Saya nak tekankan bahawa anak-anak kita mesti dididik dengan ilmu, dengan penerangan dan pencerahan supaya ada kesedaran."Ini kerana tanpa asas ilmu, mereka mudah dipengaruhi oleh hasutan luar," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul al-Quran 1447H di sini pada Sabtu.Pada Jumaat, enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur disyaki terlibat dengan aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan IS ditahan dalam operasi khas oleh Cawangan Khas, PDRM pada 14 dan 15 Februari lalu.Mohd Khalid berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun, ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor dan Terengganu didapati terbabit dalam aktiviti berorientasikan keganasan dan fahaman ekstremis secara dalam talian.Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau bersyukur kerana keadaan di negara ini masih terkawal hasil kecekapan pihak polis dalam mengenal pasti ancaman lebih awal."Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana keadaan masih terkawal dan kerana kecekapan polis serta Polis Diraja Malaysia yang berjaya mengenal pasti perkara ini lebih awal," katanya.Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak alpa atau mengambil mudah terhadap ancaman tersebut.Dalam masa sama, Anwar berkata, terdapat pihak luar yang cemburu dengan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman serta mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik."Saya pernah sebut di Parlimen sebelum ini, ada perasaan iri hati dan cemburu terhadap kejayaan Malaysia sebagai negara yang aman dengan ekonomi yang berkembang baik," ujarnya.Menurut beliau, walaupun negara berdepan beberapa cabaran seperti isu harga barang, kekurangan kemudahan di sekolah dan keperluan penambahbaikan masjid, masalah tersebut masih boleh diatasi sekiranya negara berada dalam keadaan aman."Tetapi semua masalah ini tidak boleh kita selesaikan sekiranya negara tidak aman," katanya.