Konflik Asia Barat: Pelan evakuasi bawa pulang rakyat Malaysia diluluskan - Tok Mat

SEREMBAN - Kerajaan secara dasar telah meluluskan pelan evakuasi untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Asia Barat sekiranya konflik di sana semakin memuncak.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mengaktifkan pelan terbabit kerana situasi di negara terlibat dilaporkan berada dalam keadaan terkawal."Pelan evakuasi itu telah pun diluluskan oleh Kabinet sebagai dasar dan boleh diaktifkan bila-bila masa sekiranya diperlukan."Majlis Keselamatan Negara bersama Kementerian Luar dan agensi-agensi lain juga memantau keadaan di sana setiap hari. Jika betul-betul ada keperluan, kita akan aktifkan," katanya ditemui pemberita selepas hadir Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO)/Pekerti di sini pada Sabtu.Justeru katanya, rakyat negara ini diharap tidak terlalu bimbang memikirkan soal keselamatan ahli keluarga mereka di negara berkenaan kerana kerajaan sentiasa berhubung dengan pihak keselamatan negara terlibat.Tambah Mohamad, pada masa ini terdapat kira-kira 31,000 rakyat Malaysia yang tinggal di negara terlibat seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan lain-lain.Menurutnya, setakat semalam, seramai 2,367 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di beberapa negara termasuk Jeddah, Qatar, Oman dan Abu Dhabi."Yang kita nak bawa balik ini rakyat kita yang terkandas kerana empat hari ruang udara di Arab Saudi ditutup, tapi sekarang sudah dibuka semula."Walau dalam keadaan macam mana pun, kerajaan akan membantu mengurus apa juga keperluan diplomatik dan syarikat penerbangan perlu bertanggungjawab terhadap penumpang mereka," katanya.Beliau turut menggesa mereka yang telah mendapat penerbangan untuk pulang supaya dapat memaklumkan pergerakan itu kepada Wisma Putra bagi memudahkan urusan terutama dalam mengenal pasti jumlah rakyat negara ini yang masih terkandas.Tambahnya, rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara berkenaan termasuk mengerjakan umrah atau ziarah.