GEORGE TOWN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan Kedah memaklumkan, Hashim yang juga sahabat lamanya berada dalam keadaan baik dan mereka sempat berbicara agak lama."Saya turut menyampaikan salam Azizah (isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kepada beliau (Hashim) dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Hashim, 87, sebelum ini dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Perlis ke HPP pada 18 Februari lepas bagi menjalani prosedur pemasangan sten pada bahagian arteri paha susulan kecederaan dialaminya.Dalam lawatan sama, Anwar turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di hospital berkenaan.Beliau berkata, pengorbanan petugas kesihatan amat dihargai kerana jasa besar mereka dalam menjaga dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendapatkan perkembangan projek menaik taraf kemudahan di HPP agar usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan terus berjalan lancar demi manfaat rakyat.Selesai lawatan itu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Quran 1447H di Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh, dekat sini. - Bernama