Penguat kuasa PBT dipukul penjual rokok haram

SANDAKAN - Polis menyiasat kejadian seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika melakukan rondaan di kawasan Pasar Batu 8, di sini pada petang Jumaat.Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama rakan sekerjanya melakukan rondaan untuk memantau aktiviti perniagaan di kawasan pasar berkenaan.Menurutnya, mangsa telah menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan tersebut sebelum berlaku pertengkaran."Dalam kejadian itu, mangsa telah diserang beberapa individu tidak dikenali sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan lebam di bahagian badan."Polis telah memulakan siasatan dan telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan setakat ini, satu tangkapan telah dibuat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.George berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas."Selain itu, turut disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT)."Apa lagi jika melibatkan kekerasan dan mempamerkan lagak samseng di kawasan tersebut."Kita akan banteras, kita akan usir semua dan kita tidak akan biar golongan samseng sebegini untuk jejak kaki, dan menjual rokok mereka yang sudah terang-terang dilakukan secara haram di semua kawasan PBT, bukan cuma di Sandakan, tetapi seluruh negeri."Insiden malang yang berlaku di Sandakan itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan mulai saat ini, saya dan kementerian mulakan tindakan lebih keras supaya samseng-samseng ini tiada ruang menjaja rokok haram mereka," katanya.Sebelum itu, tular video di laman sosial TikTok, memaparkan seorang penguat kuasa dilaporkan cedera selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki yang berlagak samseng.Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok tidak melakukan aktiviti menjual rokok di kawasan pasar tersebut.