SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah satu langkah konstruktif dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja suruhanjaya itu.Menurutnya, badan-badan seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) boleh meneliti dasar, prosedur dan keputusan penguatkuasaan."Parlimen harus pantau SPRM. Pengawasan sedemikian tidak akan mengganggu siasatan, sebaliknya membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang seiring dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi."Saya telah berulang kali membangkitkan risiko sistemik yang timbul daripada kebimbangan sebegini dan akan terus menyokong usaha untuk menanganinya.."Kebertanggungjawaban harus bersifat menyeluruh, atau ia langsung tidak bermakna. Malaysia berhak memiliki institusi yang boleh dipercayai, dan terbukti juga layak menerima kepercayaan itu," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.Nurul Izzah berkata, kredibiliti usaha memerangi rasuah bergantung kepada kepercayaan awam dan ia hanya akan subur apabila institusi dilihat bertindak secara adil, bertanggungjawab serta telus.Beliau turut menegaskan dakwaan mengenai kewujudan 'mafia korporat' yang kini menjadi perbualan umum, termasuk isu pegangan saham peribadi pesuruhjaya dan potensi konflik kepentingan, menuntut jawapan yang telus."Kita tidak boleh membiarkan dakwaan yang tidak dijawab dengan sewajarnya mencipta jurang kredibiliti yang akhirnya menggugat usaha nasional yang lebih besar dalam memerangi rasuah."Justeru, mekanisme semak imbang yang lebih kukuh amat diperlukan," katanya.Tambah beliau, kekuatan sesebuah demokrasi tidak hanya diukur melalui undang-undang yang digubal, tetapi juga melalui integriti pelaksanaannya dan kewibawaan institusi yang diamanahkan untuk menjunjungnya."Oleh itu, institusi kerajaan harus sentiasa membuktikan bahawa mereka berkhidmat demi kepentingan seluruh rakyat dan negara, bukan untuk segelintir individu atau kelompok tertentu."Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama demi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan," ujarnya.