SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan satu rakaman audio tular yang mendakwa dirinya berbincang mengenai rancangan untuk menggulingkan kerajaan bersama balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.Rafizi menjelaskan, suara dalam rakaman itu tidak mungkin miliknya kerana beliau sendiri tidak pernah menjawab atau bercakap dengan sesiapapun melalui panggilan telefon.Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, dirinya mengelak daripada berbuat demikian kerana percaya kerajaan memantau talian telefonnya."Tular pula video kononnya rakaman suara percakapan saya dengan Toh Puan Na'imah, bincang macam mana nak gulingkan kerajaan. Semua yang waras tahu itu janaan kecerdasan buatan (AI)."Sah bukan saya kerana saya tak pernah angkat panggilan telefon atau bercakap di telefon sebabnya telefon saya kena 'tapped' (diawasi) oleh kerajaan."Sebab itulah saya tak pernah angkat panggilan telefon dan tiada aplikasi WhatsApp, apatah lagi nak sembang dengan Toh Puan Na'imah macam itu. Jadi, cuba lagi mungkin selepas ini mereka boleh buat AI suara saya rap sikit," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian sebagai respons terhadap klip audio berdurasi 23 saat yang tular di TikTok sejak Jumaat.Rakaman tersebut memaparkan suara dua individu kononnya sedang berbincang tentang sebuah firma komunikasi strategik yang berpangkalan di Amerika Syarikat, kemudian menggunakan gambar Rafizi dan Na’imah sebagai latar belakang.Na’imah dan anak-anaknya kini disiasat berhubung dakwaan merancang untuk menjatuhkan kerajaan serta sabotaj terhadap kestabilan negara.Perkara itu timbul selepas polis menerima laporan bahawa seorang 'individu berpengaruh' didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian sekitar Julai tahun lalu bagi membincangkan rancangan menggunakan media antarabangsa untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.Dua anak arwah Daim bersama dua peguam serta beberapa wakil daripada sebuah firma komunikasi strategik antarabangsa dilaporkan turut menghadiri mesyuarat tersebut.Na’imah tidak lama kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan dirinya terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan sepertimana didakwa pihak tertentu.Isteri kepada bekas Menteri Kewangan itu menegaskan, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan langsung tidak masuk akal.Terbaharu, Na'imah, dua anaknya dan peguam keluarga itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Anwar.Saman berhubung siasatan dakwaan usaha untuk menggulingkan kerajaan turut dibuat terhadap dua lagi pihak lain iaitu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.Na’imah bersama anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam, Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid selaku plaintif, menamakan Anwar, Mohd Khalid dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga.Menerusi saman tersebut, kesemua plaintif memohon pengisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh defendan kedua dan ketiga, di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan sebagai menyalahi undang-undang.