SHAH ALAM – Dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang diberkas bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang berlaku di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi sebelum satu operasi khas dilancarkan bagi menjejaki suspek yang terlibat.Beliau berkata, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya membawa kepada beberapa tangkapan bermula 2 Mac lalu."Dalam operasi berkenaan, polis menahan enam lelaki warga tempatan di beberapa lokasi berasingan."Daripada jumlah tersebut, tiga suspek merupakan penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota polis, manakala tiga lagi orang awam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, siasatan turut mendapati salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau.Menurutnya, kesemua suspek kini direman sehingga 8 Mac bagi membantu siasatan lanjut."Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM11,498 serta beberapa barang kes lain."Antara yang dirampas termasuk sebuah kenderaan Mercedes-Benz, sebuah Chery Omoda 5 dan sebuah van jenis Toyota Hiace," katanya.Shazeli berkata turut dirampas tiga helai vest bertulis ‘Polis’, dua ketulan emas seberat 100 gram serta 13 telefon bimbit pelbagai jenama.Beliau memaklumkan siasatan lanjut juga membawa kepada usaha mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih bebas."Usaha mengesan kedua-dua individu tersebut sedang giat dijalankan susulan maklumat yang diperoleh daripada suspek yang telah ditahan," katanya.Tegasnya, Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi dalam menjalankan siasatan walaupun kes tersebut melibatkan warga pasukan sendiri."Siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti pasukan serta keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara," katanya.