Warga emas terperangkap dalam perigi dua hari

BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi berhampiran sebuah restoran nasi kandar di Jalan Telok Air Tawar di sini sebelum berjaya diselamatkan orang awam pada Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, mangsa berusia 63 tahun dipercayai terjatuh ke dalam perigi dengan anggaran kedalaman lima meter.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata mangsa dikatakan berada di dalam perigi berkenaan selama dua hari sebelum disedari orang awam.Beliau berkata, mangsa merupakan seorang gelandangan dan dipercayai pergi ke perigi berkenaan untuk mandi."Mangsa bernasib baik kerana ketika dia terjatuh, air di dalam perigi berkenaan berada pada paras dada," katanya."Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.29 petang."Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.38 petang. Operasi melibatkan seorang pegawai dan lima anggota termasuk penyelia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.John menambah ketika tiba di lokasi, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba."Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan serta keletihan akibat berada dalam perigi tersebut untuk tempoh yang lama."Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.33 petang selepas keadaan disahkan selamat.