PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyatakan kesediaan baginda untuk bersemuka dengan penyokong Harimau Malaya bagi memberikan penjelasan terperinci berhubung kemelut yang sedang melanda bola sepak negara.Reaksi itu diberikan baginda susulan hantaran seorang pengguna di platform X yang menuntut penjelasan berhubung keputusan yang dibuat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman gantung beraksi selama 12 bulan terhadap tujuh pemain serta denda kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).Membalas hantaran berkenaan, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima pelawaan tersebut dan menyerahkan kepada penyokong untuk menetapkan masa serta lokasi perjumpaan."Bila-bila masa, di mana sahaja. Masa dan tempat, mereka atau anda pilih. Lelaki sejati tidak lari."Tetapi kebanyakan bukan kisah apa yang betul dan benar. Mereka lebih berminat mahu menghapuskan pengaruh saya dalam industri bola sepak tempatan, itu sahaja," titah baginda menerusi satu hantaran di X.Terdahulu, keputusan CAS menyaksikan hukuman penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.Menerusi keputusan berkenaan, CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan membabitkan pemain-pemain tersebut terbukti.Badan timbang tara antarabangsa itu juga menyifatkan larangan selama 12 bulan daripada beraksi dalam perlawanan rasmi sebagai satu bentuk hukuman yang munasabah.Bagaimanapun, penggantungan tersebut hanya tertakluk kepada perlawanan rasmi sahaja dan kesemua pemain terbabit tidak dihalang daripada menyertai sebarang aktiviti lain yang berkaitan dengan bola sepak.Keputusan itu mencetuskan pelbagai polemik serta persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang rata-ratanya menuntut penjelasan yang jelas dan telus berhubung isu berkenaan.