Ops Pantau 2026: KPDN keluar 532 kompaun kepada peniaga

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 532 kompaun serta-merta bernilai RM143,400 terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan yang dikesan dalam Ops Pantau 2026 di seluruh negara sejak 19 Februari hingga 6 Mac lalu.Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata dalam tempoh itu, sebanyak 36,510 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara susulan 892 aduan yang diterima.Menurutnya, hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 696 kes telah direkodkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak meletakkan tanda harga dan penjualan barang tiruan."Melalui tindakan penguatkuasaan Ops Pantau itu, nilai rampasan direkodkan mencecah hampir RM3 juta."Bagi pemantauan khusus di bazar Ramadan pula, sebanyak 12,794 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan hanya lapan kes direkodkan setakat ini iaitu masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak, manakala satu kes di Perak serta Putrajaya," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Timur di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini pada Sabtu.Ops Pantau 2026 merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memantau bekalan dan harga barangan sepanjang Ramadan serta menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.Fuziah berkata, selain penguatkuasaan, pihak kementerian melalui Bahagian Penguat Kuasa KPDN turut memperkenalkan Program PATUH di BRR sebagai pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga.Sementara itu katanya, BRR yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada Mac 2023 diteruskan di 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga pada tahun ini."Bagi negeri Pahang, tujuh lokasi BRR telah dilaksanakan dengan kerjasama strategik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)."Selain di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan, BRR turut dilaksanakan di Bazar Ramadan Bandar Bera, Bazar Ramadan Bandar Jerantut, Bazar Ramadan Mempaga, Bazar Ramadan Muadzam Shah, Bazar Ramadan Bandar Raub dan Bazar Ramadan Bukit Semantan, Temerloh," katanya.Beliau menjelaskan di semua lokasi BRR itu, peniaga menyediakan pelbagai pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang dan berpatutan.