Wanita tempatan antara lima ditahan terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan antara lima individu diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian yang menyasarkan pelanggan dari China menerusi operasi di dua premis di sekitar Bukit Jalil di sini pada Jumaat.Serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis pejabat di kawasan tersebut sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.Beliau berkata, soal siasat awal terhadap suspek membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran."Dalam serbuan itu, polis menahan empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang menguruskan laman web perjudian."Siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian atas talian dengan menyasarkan pelanggan dari China," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak kira-kira dua bulan lalu dengan menyewa premis berkenaan pada kadar sekitar RM2,000 sebulan sebagai tempat operasi.Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga China yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas pelancong."Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan lanjut," katanya.Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur melalui Bahagian D7 akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di ibu negara.