GEORGE TOWN - Kebakaran hutan di kawasan bukit berhampiran Surin Residence, Solok Tanjung Bungah di sini, pada Sabtu memaksa anggota bomba mendaki hampir dua kilometer bagi menjalankan kerja pemadaman.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.59 petang.Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bersama bantuan BBP Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian."Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.11 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira tujuh kilometer."Kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit dengan anggaran keluasan 1.21 hektar pada jarak kira-kira dua kilometer dari kaki bukit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, keadaan bentuk muka bumi yang berbukit dan tiada laluan kenderaan menyebabkan anggota bomba terpaksa mendaki ke lokasi sambil membawa peralatan pemadaman."Komander operasi telah membuat penilaian awal (size up) dengan memakai peralatan perlindungan diri lengkap dan operasi dilaksanakan menggunakan konsep RECEO."Pasukan pemadaman dibahagikan kepada dua sektor dengan menggunakan kaedah ‘fire beater’ selain membina ‘fire break’ bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lebih luas," ujarnya.Tambah beliau, seramai 16 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan tiga jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) BBP Bagan Jermal, sebuah FRT BBP Jalan Perak serta sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS)."Setakat jam 7.12 malam, operasi berjaya dikawal namun kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih diteruskan."Unit dron juga telah dihubungi dan berada dalam keadaan bersedia bagi melakukan pemantauan dari udara," katanya.Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi masih diteruskan sehingga api dipadam sepenuhnya.