MACHANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dron berteknologi tinggi yang mampu melakukan pembesaran (zoom) hingga 200 kali bagi mengesan kesalahan pengguna jalan raya, termasuk membaca nombor pendaftaran kenderaan secara jelas dari udara.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, dron berdefinisi tinggi itu akan digunakan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri yang dijadual bermula pada 13 Mac ini.Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut akan dimulakan di Kelantan sebelum diperluaskan ke seluruh negara sebagai langkah meningkatkan keberkesanan pemantauan serta penguatkuasaan."Ia mampu melakukan zoom hingga 200 kali, sekali gus boleh melihat nombor plat kenderaan yang melakukan kesalahan selain merakam video dan gambar yang disimpan secara automatik dalam storan."Rakaman tersebut boleh dijadikan bukti sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah trafik melalui Notis 114," katanya kepada pemberita pada Ahad.Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Singgah Sahur di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Labok di sini.Hadir sama ialah Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kelantan, Misuari Abdullah.Tambah beliau, setakat ini JPJ mempunyai lima dron untuk tujuan pemantauan, namun hanya satu daripadanya merupakan dron berteknologi tinggi yang kini digunakan di Kelantan.Ujarnya, dron berkenaan telah digunakan sejak beberapa bulan lalu di negeri ini bagi memantau serta mengesan kesalahan pengguna jalan raya dalam operasi yang dijalankan.Aedy Fadly memberitahu, semua anggota yang mengendalikan peralatan itu perlu menjalani latihan serta memiliki lesen yang sah bagi memastikan penggunaan dron mematuhi peraturan yang ditetapkan."Sekiranya mereka tidak mempunyai lesen, mereka tidak dibenarkan mengendalikan dron ini."Buat masa ini kita mulakan dengan JPJ Kelantan terlebih dahulu sebelum penggunaan dron ini diperluaskan ke negeri-negeri lain," katanya.Menurut beliau, empat lagi dron yang dimiliki JPJ turut akan digunakan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri, namun keupayaan pengesanannya tidak setinggi dron berteknologi tinggi yang digunakan di Kelantan.