Bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol kemuka rayuan

SHAH ALAM - Bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang digantung keahliannya pada Januari 2023 mengesahkan memohon untuk kembali kepada parti tersebut melalui inisiatif Rumah Bangsa sekitar dua minggu lepas.Mohd Salim berkata, surat permohonan rayuan itu dikemukakan melalui UMNO Bahagian Jempol dan kemudiannya dihantar kepada Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang dipengerusikan Datuk Seri Jalaluddin Alias.Bekas Ahli Parlimen Jempol itu berkata, Jalaluddin juga menyokong permohonan tersebut dan beliau sendiri menyerahkannya kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa untuk perhatian lanjut."Buat masa ini, belum ada sebarang jawapan atau respons balas. Tetapi, saya difahamkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata yang beliau akan umumkan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai," katanya kepada Sinar Ahad.Menurut Mohd Salim, pihaknya pernah menghantar surat rayuan sebanyak dua kali iaitu pada 2024 dan 2025 dengan harapan UMNO memperhalusi permohonannya.Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian UMNO supaya berlembut hati serta kembali kepada parti demi usaha menyatupadukan semula ummah."Rumah Bangsa ini adalah titik pertemuan dan penyatuan ummah. Inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan silaturahim dan perjuangan parti Melayu."Jadi, pesanan saya kepada sahabat UMNO yang merasa terpinggir dan jauh hati, kembalilah..."Kembali dan kita bersama-sama memperkasakan UMNO dalam kelangsungan perjuangan," ujarnya.Untuk rekod, Mohd Salim digantung keahlian UMNO atas kesalahan melanggar perlembagaan parti.