IPOH - Minat dalam bidang automotif mendorong Nurul Khairin Qistina Mohamad Shakirin, 22, bergelar mekanik dan merealisasikan impian arwah abangnya.Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, Allahyarham Muhammad Aqil Khairin Mohamad Shakirin meninggal dunia lapan tahun lalu pada usia 18 tahun akibat meningitis."Arwah abang memang nak ambil bidang ini tapi masa Tingkatan Empat dia sakit dan tak sempat teruskan."Jadi, saya sambung impiannya dan dalam keluarga, saya satu-satunya yang jadi mekanik," katanya kepada Sinar Harian.Nurul Khairin memulakan langkah dengan menyambung pengajian di Kolej Vokasional Lebuh Cator sejak Tingkatan Empat sehingga ke peringkat diploma.Kini selepas dua tahun berkecimpung dalam bidang automotif, gadis itu diberi tanggungjawab sebagai penasihat teknikal, selain menjalankan tugas sebagai juruteknik di sebuah pusat servis kenderaan."Orang selalu tak percaya, tanya boleh ke saya buat kerja baiki kereta."Memang ada kerja berat tapi yang itu saya minta tolong kawan, kita kena tahu kemampuan diri," ujarnya yang menyimpan impian mahu menyambung pengajian dan memiliki bengkel sendiri suatu hari nanti.