Nurfatin 'kuasai' tapak loji, pelantar minyak

KEMAMAN – Bidang Pemeriksaan Tidak Musnah (NDE) sering dianggap dunia lelaki kerana persekitaran kerja yang mencabar, berisiko tinggi dan melibatkan industri berat.​Namun, bagi Nurfatin Najihah Hamidon, 34, tanggapan itu berjaya ditepis apabila dia kini antara tenaga pakar wanita yang aktif dalam sektor yang sinonim dengan label 3D (kotor, bahaya dan sukar).​Anak jati Terengganu itu kini bertugas di RSA Academy Sdn Bhd, mula jatuh cinta dengan bidang Non-Destructive Testing (NDT) ketika menuntut di peringkat ijazah sebelum menjalani latihan praktikal di TNB Generation Kenyir.​"Ketika itu saya berpeluang mengikuti aktiviti pemeriksaan komponen turbin."Dari situ saya faham bahawa NDE memainkan peranan kritikal dalam memastikan integriti dan keselamatan aset industri tanpa merosakkan bahan yang diperiksa," katanya kepada Sinar Harian.Sejak memperoleh pensijilan profesional pada 2017, Nurfatin tidak menafikan cabaran besar bekerja di tapak industri seperti loji dan pelantar minyak yang didominasi lelaki.Dia yang mahir dalam kaedah Liquid Penetrant Testing (PT), Magnetic Particle Testing (MT) dan Ultrasonic Testing (UT) mengakui perlu membuktikan kemampuan fizikal serta mental pada peringkat awal kerjaya.​"Cabaran terbesar ialah ruang pergerakan yang terhad. Saya perlu tunjukkan kemampuan dari segi kemahiran dan ketahanan fizikal.​"Tetapi apabila kita menunjukkan profesionalisme dan keupayaan teknikal yang baik, stereotaip itu hilang dan penerimaan rakan sekerja menjadi sangat positif," ujarnya.​Menyentuh soal risiko, Nurfatin Najihah berkata, pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan menjadi rujukan utama sebelum memulakan tugasan terutama bagi ujian berisiko seperti radiografi.Menurutnya, setiap keputusan pemeriksaan melibatkan nyawa dan keselamatan struktur, justeru ketepatan laporan amat dititikberatkan.​Walaupun berdepan dengan tuntutan kerja syif dan tugasan luar kawasan, anak sulung daripada empat beradik itu menyifatkan perancangan jadual yang teliti serta sokongan keluarga sebagai kunci keseimbangan hidup.​"Pesanan saya kepada wanita muda, jangan takut mencuba bidang mencabar. Kemampuan kita setanding lelaki dalam sektor teknikal jika disertakan usaha, disiplin dan minat yang tinggi.​"Saya juga berharap lebih ramai wanita tampil menceburi bidang NDE bagi melahirkan tenaga kerja teknikal berkualiti tinggi di Malaysia," ujarnya.