Paras air empangan MADA merosot 40 peratus

JERLUN – Paras takungan air di empangan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kini menurun kepada kira-kira 40 peratus berikutan kemarau yang melanda sejak hujung tahun lalu.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca panas serta taburan hujan yang tidak menentu kebelakangan ini turut memberi kesan kepada pengeluaran padi bagi musim penanaman semasa.Bagaimanapun katanya, situasi tersebut masih lagi berada dalam keadaan terkawal."Pada tahun ini kita berdepan kemarau yang menjejaskan pengeluaran padi. Paras takungan empangan MADA kini sekitar 40 peratus."Walaupun hujan sudah mula turun sejak semalam dan hari ini, kesannya masih kecil kerana air perlu turun di kawasan hulu bagi menambah takungan di empangan," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) serta sesi perjumpaan bersama pemimpin peladang di kawasan MADA di sini.Hadir sama Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.Berdasarkan data di laman web MADA, Empangan Pedu mencatatkan kadar takungan air sebanyak 42.23 peratus, diikuti Empangan Muda (11.12 peratus) dan Empangan Ahning (55.96 peratus) dengan jumlah keseluruhan kadar takungan air sekitar 41.55 peratus.Dalam pada itu Mohamad berkata, bagi musim pertama 2026 yang dijadualkan bermula April ini, MADA merancang melaksanakan kaedah tabur kering sebagai langkah menyesuaikan penanaman padi dengan keadaan bekalan air semasa.Menurutnya, bekalan air sedia ada dijangka mencukupi untuk pelaksanaan kaedah tersebut sementara menunggu taburan hujan yang dijangka lebih kerap menjelang penghujung April."Langkah ini diambil bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan walaupun berdepan cabaran bekalan air ketika ini," ujarnya.Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kementeriannya turut memantau perkembangan konflik di Asia Barat bagi menilai kemungkinan kesannya terhadap tahap keselamatan makanan negara.Beliau berkata, Bahagian Antarabangsa dan Bahagian Sekuriti Makanan kementerian telah diarahkan menyediakan laporan dalam tempoh seminggu bagi menilai sebarang implikasi terhadap bekalan makanan negara."Buat masa ini pergantungan import makanan negara daripada negara teluk adalah rendah kerana Malaysia banyak bergantung kepada negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand."Selain itu, bekalan makanan turut diperoleh dari China, Australia, New Zealand, Argentina dan Brazil serta beberapa negara Asia Selatan seperti India dan Pakistan," katanya.Tambahnya, secara keseluruhan bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi dan tidak terjejas.Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa kerana konflik berlarutan berpotensi menyebabkan kenaikan harga minyak dunia yang boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan serta harga makanan."Insya-ALLAH bekalan makanan asas termasuk ayam, daging dan kelapa juga mencukupi untuk menampung permintaan sempena Aidilfitri tidak lama lagi," katanya lagi.