Pencarian MH370 di kawasan baharu masih belum berhasil

SHAH ALAM - Operasi pencarian Malaysia Airlines MH370 di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, masih belum menemukan sebarang bukti yang dapat mengesahkan lokasi serpihan pesawat itu.Demikian kenyataan terbaharu daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) setakat tarikh kemas kini pada Ahad.MOT berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan keluarga mangsa terus dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu dan akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa."Pada 25 Mac 2025, Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menjalankan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370 di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi."Ini berdasarkan prinsip 'tiada penemuan, tiada bayaran'. Operasi pencarian di bawah perjanjian ini dijalankan dalam dua fasa iaitu 25 hingga 28 Mac 2025 (Fasa Satu) dan 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026 (Fasa Dua)."Secara keseluruhan, 28 hari operasi pencarian dijalankan bagi kedua-dua fasa selepas perjanjian ditandatangani, dengan kira-kira 7,571 kilometer persegi dasar laut berjaya disiasat dalam kawasan pencarian ditetapkan," katanya.MOT menambah, Ocean Infinity turut memaklumkan bahawa aktiviti tinjauan tambahan telah dijalankan dalam kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi ditandatangani pada Mac tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi tersebut.Kata kementerian itu lagi, operasi pencarian beberapa kali terganggu akibat faktor cuaca dan keadaan laut."Jadi, fasa kedua operasi berakhir pada 23 Januari lepas," ujar MOT.Sebelum ini, media melaporkan, pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing hilang daripada radar komersial kurang dari satu jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Radar tentera kemudiannya mendedahkan bahawa pesawat itu membuat putaran 180 darjah menyeberangi Semenanjung Malaysia ke Selat Melaka, berpusing ke utara dan terakhir dikesan di suatu tempat di utara Sumatera.Analisis seterusnya menggunakan teknologi satelit menunjukkan bahawa pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, akhirnya berakhir di selatan Lautan Hindi.Meskipun pencarian yang luas dijalankan, tiada penemuan serpihan atau bangkai pesawat direkodkan setakat ini.