PASIR PUTEH - Hasrat 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar pulang ke negara asal lebur selepas dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Jumaat.Kesemua PATI berusia antara 16 hingga 51 tahun termasuk lima wanita ditahan di Kampung Kijang, Kota Bharu pada jam 5.57 pagi ketika sedang menunggu bot pancung.Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Kamal Mohamad berkata, dalam serbuan menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Khas Pagar Laut itu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bertindak sebagai tekong bot turut ditahan bagi membantu siasatan."Hasil soal siasat mendapati mereka ini merupakan pekerja kedai makan di Kuala Lumpur dan Johor yang mahu pulang ke negara asal."Kesemua PATI ini akan dibawa oleh tekong bot ke negara jiran dan kemudian meneruskan perjalanan pulang ke Myanmar," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati tekong bot itu mengaku menerima upah sebanyak RM200 untuk sekali penghantaran PATI terbabit.Ujarnya, pemeriksaan lanjut ke atas PATI menemukan wang tunai serta barang kemas yang dipercayai untuk dibawa pulang.Kamal memberitahu, sindiket penyeludupan PATI itu mengemudi bot tersebut di dalam gelap selain mematikan enjin bagi mengaburi pihak berkuasa."Ini merupakan tangkapan pertama PATI oleh Maritim Malaysia Kelantan pada tahun ini," katanya.Dalam perkembangan lain, menurut beliau, penutupan dan perobohan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok menyebabkan sindiket penyeludupan mengubah taktik mereka menggunakan laluan laut serta Sungai Kelantan.