MELAKA - Permohonan bagi inisiatif pendidikan percuma kepada 10,000 penuntut daripada keluarga miskin yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum mencapai kuota setakat ini.Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, permohonan bagi inisiatif yang bermula Januari tahun ini dijangka meningkat selepas pembukaan pengambilan baharu kemasukan diploma dan ijazah melalui sistem UPU sekitar April dan Mei nanti.Menurutnya, permohonan tersebut boleh dibuat melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan akan melalui proses semakan silang dengan beberapa agensi berkaitan."Kita akan buat semakan silang dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan eKasih serta badan-badan lain yang turut menawarkan penajaan."Ini kerana dalam amalan biasa, seorang pelajar hanya boleh menerima satu bentuk penajaan," katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar bersama pengamal media Melaka di sebuah hotel di sini pada SabtuKatanya, inisiatif tersebut berfungsi hampir sama seperti pinjaman PTPTN namun penerima tidak perlu membuat bayaran semula selepas tamat pengajian.Jelasnya, pada peringkat awal inisiatif itu melibatkan 5,800 penuntut dengan peruntukan sebanyak RM120 juta setahun."Jumlah itu bersamaan kira-kira RM20,000 bagi setiap penuntut dan kini kerajaan menambah komitmen supaya lebih ramai penuntut daripada keluarga miskin dapat menikmati kemudahan tersebut."Inisiatif ini sudah bermula untuk pengambilan tahun ini sejak Januari lalu," katanya.Tambah beliau, langkah tersebut merupakan usaha kerajaan untuk memastikan penuntut daripada keluarga miskin dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa menanggung beban hutang pada masa depan.Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan percuma melalui PTPTN kepada anak daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA ditingkatkan kepada 10,000 penuntut tahun ini.Jumlah itu merupakan tambahan kepada 5,800 penuntut yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada Oktober lalu kepada keluarga miskin dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,705 bagi melanjutkan pengajian di IPTA.