SEREMBAN - Selepas ditahan berhubung kes penipuan penjualan tanah lot kurnia tidak wujud melibatkan kerugian RM1.5 juta, pelakon wanita dan suami disyaki pula terlibat dalam kes penipuan mendapatkan darjah kebesaran yang tidak wujud.Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan polis diterima berhubung perkara itu pada 18 Disember lalu."Polis telah menerima satu laporan berkaitan dengan modus operandi penipuan dalam urusan mendapatkan darjah kebesaran Negeri Terengganu yang tidak wujud."Mangsa seorang lelaki yang merupakan pesara kerajaan telah ditawarkan oleh suspek lelaki bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran terbabit yang membawa gelaran Datuk," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurutnya, mangsa telah membuat transaksi pembayaran wang proses sebanyak enam kali bermula Januari 2025 hingga November 2025 yang melibatkan kerugian RM23,120.Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan pasangan berkenaan yang tempoh remannya berakhir pada Ahad akan ditahan semula.Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan tawaran darjah kebesaran yang tidak wujud.Jelasnya, semakan perlulah dibuat terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum membuat sebarang pembayaran.Sebelum ini media melaporkan pasangan itu yang berusia 35 dan 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia di Selangor membabitkan kerugian RM1.5 juta.Mereka kemudiannya telah direman tiga hari bermula 5 Mac sebelum disambung lagi sehari untuk siasatan lanjut.